Soalan Lazim Hubungi Kami Aduan & Maklum Balas Peta Laman    
               
enms
A- A A+

Unit Sulh

User Rating: 0 / 5

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

PENDAHULUAN

Konsep penyelesaian pertikaian di luar Mahkamah semakin hari semakin mendapat sambutan daripada masyarakat. Kaedah Sulh telahpun diperkenalkan dan dilaksanakan di Mahkamah Syariah di Malaysia. Kaedah Sulh telah diperkenalkan di Kelantan pada tahun 2009 di mana ianya mengutamakan instrumen penyelesaian pertikaian secara perdamaian. Kaedah ini merupakan alternatif kepada kaedah perbicaraan yang kebiasaannya memakan masa yang lama dan melibatkan kos yang tinggi. Selain Mahkamah Syariah melaksanakan Sulh, Majlis Peguam juga telah lebih dahulu menubuhkan Pusat Mediasi pada tahun 1999. Kaedah Sulh boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk tetapi bergantung kepada tuntutan atau permohonan yang dibawa oleh pihak bertikai. Ini termasuk rundingcara atau kaunseling rumahtangga, Hakam dan Jawatankuasa Pendamai dalam isu syiqaq atau perbalahan dalam masalah rumahtangga dan Majlis Sulh atau Mediasi. Majlis Sulh boleh dihadiri oleh pihak-pihak itu sendiri atau dihadiri sama peguam syarie. Tuntutan atau permohonan yang dibuat mestilah melibatkan hak dan tanggungjawab dalam hal ehwal kekeluargaan Islam di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

DEFINISI SULH

Sulh mempunyai beberapa pentakrifan. Pada dasarnya definisi ini boleh dikategorikan kepada dua pentakrifan iaitu berdasarkan hukum syara’ dan undang-undang Islam yang dikuatkuasakan di Kelantan. Sulh menurut bahasa diertikan sebagai “penamatan sesuatu pertikaian” atau “berbuatbaik”. Manakala menurut istilah syara’ pula adalah “suatu aqad yang dengannya tamat sesuatu pertikaian”.
1) Syarat berkaitan pihak-pihak yang berdamai

  • Iaitu orang yang layak dan sah mendermakan hartanya. Jika ia dibuat oleh orang yang tidak layak seperti orang gila atau kanak-kanak atau penjaga anak yatim atau nazir harta wakaf, maka sulhnya tidak sah kerana ia merupakan derma, sedangkan mereka tidak memilikinya.
  • Sungguhpun demikian, Sulh penjaga anak yatim atau nazir harta wakaf adalah sah jika Sulh yang dibuat oleh mereka boleh mendatangkan kebaikan bagi anak yatim dan harta wakaf.

2) Syarat bagi sesuatu yang dijadikan Sulh

  • Ia merupakan harta yang boleh dinilai dan dapat dibuat penyerahan atau sesuatu yang berharga.
  • Ia diketahui wujud dan tidak dipertikaikan tentang kewujudannya bagi melaksanakan penerimaan serta penyerahan.

3) Syarat bagi hak yang dipertikaikan.

  • Ia merupakan harta yang boleh dinilai atau sesuatu yang bermanfaat.
  • Ia merupakan hak seseorang yang harus ditukar ganti sekalipun bukan berbentuk harta seperti qisas.
  • Hak Allah tidak sah untuk dijadikan Sulh seperti hadd zina dan minum arak.

Daripada rukun dan syarat tersebut, kesannya seandainya Sulh telah dipersetujui ianya adalah bersifat mengikat dan tidak boleh diubah tanpa persetujuan dan tidak boleh didengar dakwaan yang menuntut buat kali kedua. Namun demikian penyelesaian yang dibuat di Majlis Sulh boleh di bawa ke Mahkamah sekiranya terdapat ketidaktelusan, penipuan, kesilapan dan sebagainya yang mengakibatkan ketidakadilan kepada sesuatu pihak. Secara umumnya, penyelesaian melalui kaedah Sulh di kaca mata syara’ dan yang dilaksanakan berlaku dalam dua bentuk iaitu Secara Pelepasan Hak (Ibra’) iaitu pemohon yang menuntut hak hanya mahu dan bersetuju mengambil atau menerima sebahagian sahaja daripada kadar tuntutannya dan Secara Gantian Mu’awadhah) iaitu pemohon tidak mengambil haknya yang dituntut tetapi bersetuju digantikan dengan bentuk lain. 

 MANUAL KERJA SULH

Bagi melaksanakan Kaedah Tatacara Mal (Sulh) Negeri Kelantan 2001, satu Manual Kerja Sulh telah digubal untuk digunapakai dan dipatuhi oleh semua Pegawai Sulh. Antara objektif manual kerja ini ialah bertujuan untuk memperjelas dan menyeragamkan prosedur yang perlu diikuti oleh semua Pegawai Sulh dalam mengendalikan Majlis Sulh. Manual Kerja Sulh ini menggariskan proses bermula dengan kenyataan awal Pegawai Sulh atau al-Ta’aruf, pembentangan awal pihak yang bertikai, perbincangan bersama, pertemuan sebelah pihak (private caucus), perundingan bersama, penghakiman berasaskan persetujuan dan kes diserahkan kembali. Manual Kerja Sulh juga mengutamakan konsep kerahsiaan bagi menjamin perlaksanaan Sulh dengan lebih berkesan. Majlis Sulh akan dilaksanakan melalui dua cara iaitu secara Marathon atau Berkala.
Perlaksanaan Majlis Sulh secara Marathon bermakna ianya dilaksanakan hanya dengan sekali panggilan atau perbincangan sahaja bersama pihak-pihak bertikai. Kebiasaannya ia hanya mengambil masa yang singkat dan mampu mempercepatkan kes selesai. Majlis Sulh yang dijalankan secara Berkala atau bertempoh dilaksanakan lebih dari sekali sesi bergantung kepada budi bicara Pegawai Sulh. Tempoh perlaksanaan Majlis Sulh Berkala ini ialah dalam masa 3 bulan dan boleh dilanjutkan dengan membuat permohonan di Mahkamah. Bentuk Majlis Sulh ini mengambil masa yang agak lama dan memerlukan kerjasama dari pihak bertikai untuk hadir pada setiap sesi Majlis Sulh.

Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Notis Hakcipta | Peta Laman | Penafian
"Paparan terbaik ,menggunakan Chrome dengan resolusi 1024 x 800"

© Hakcipta Terpelihara 2021 Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan