=

Unit Sulh

::PENGENALAN::

Sesungguhnya Islam menganjurkan perdamaian terhadap apa saja pertikaian berdasarkan konsep redha meredhai dan tolak ansur. Sulh merupakan salah satu kaedah perdamaian yang efektif kepada masyarakat selain kaedah perbicaraan di Mahkamah yang sering berlanjutan dan mengambil yang lama serta kos yang tinggi. Keberkesanan perlaksanaan Sulh di Mahkamah Syariah Kelantan membuktikan bahawa kaedah ini mampu untuk mengurangkan masalah kes tertangguh yang membelenggu Mahkamah Syariah selama ini. Dengan perlaksanaan Sulh, dibuktikan bahawa imej Mahkamah Syariah dapat dinaikkan melalui peningkatan kes berjaya diselesaikan.

::PANDAHULUAN::

Konsep penyelesaian pertikaian di luar Mahkamah semakin hari semakin mendapat sambutan daripada masyarakat. Kaedah Sulh telahpun diperkenalkan dan dilaksanakan di Mahkamah Syariah di Malaysia. Kaedah Sulh telah diperkenalkan di Kelantan pada tahun 2009 di mana ianya mengutamakan instrumen penyelesaian pertikaian secara perdamaian. Kaedah ini merupakan alternatif kepada kaedah perbicaraan yang kebiasaannya memakan masa yang lama dan melibatkan kos yang tinggi. Selain Mahkamah Syariah melaksanakan Sulh, Majlis Peguam juga telah lebih dahulu menubuhkan Pusat Mediasi pada tahun 1999. Kaedah Sulh boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk tetapi bergantung kepada tuntutan atau permohonan yang dibawa oleh pihak bertikai. Ini termasuk rundingcara atau kaunseling rumahtangga, Hakam dan Jawatankuasa Pendamai dalam isu syiqaq atau perbalahan dalam masalah rumahtangga dan Majlis Sulh atau Mediasi. Majlis Sulh boleh dihadiri oleh pihak-pihak itu sendiri atau dihadiri sama peguam syarie. Tuntutan atau permohonan yang dibuat mestilah melibatkan hak dan tanggungjawab dalam hal ehwal kekeluargaan Islam di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

::DEFINISI SULH::

Sulh mempunyai beberapa pentakrifan. Pada dasarnya definisi ini boleh dikategorikan kepada dua pentakrifan iaitu berdasarkan hukum syara’ dan undang-undang Islam yang dikuatkuasakan di Kelantan. Sulh menurut bahasa diertikan sebagai “penamatan sesuatu pertikaian” atau “berbuatbaik”. Manakala menurut istilah syara’ pula adalah “suatu aqad yang dengannya tamat sesuatu pertikaian”.

Majallah Al-Ahkam Al-Adliyyah, al-Sheikh Nazzam dan Qadri Basha

menerangkan sulh ialah akad yang menamatkan pertikaian secara sukarela dan redha meredhai. Ada juga yang merujuk Sulh dalam terma yang lain iaitu Mediasi. Mediasi bolehdidefinisikan sebagai “proses di mana satu pihak (pihak ketiga atau mediator) membantu dua pihak yang bertikai antara satu sama lain berunding dan mencapai penyelesaian secara damai”.

Ini bermakna mediasi merupakan ‘perundingan secara terpimpin’ (assisted negotiation) secara langsung kepada pihak-pihak yang bertikai oleh mediator’.


Dari segi undang-undang yang dirujuk di Negeri Kelantan, tiada peruntukan yang mendefinisikan Sulh dengan jelas, namun demikian terdapat peruntukan mengenai Sulh dan meletakkan bahawa sulh itu dalam suatu bentuk proses berdasarkan prosedur tertentu  yang digalakkan.

Berdasarkan definisi yang diberikan di atas, dapat disimpulkan bahawa Sulh merupakan keputusan atau hasil dari suatu perdamaian atau persetujuan oleh pihak-pihak yang bertikai atau bersengketa hasil dari proses mediasi. Majlis Sulh merupakan suatu proses perundingan terpimpin yang dijalankan sesuai dengan peraturan yang diperuntukkan oleh hukum syara’ dan undang-undang bagi tercapainya Sulh. Kaedah Sulh ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos dan masa malahan dapat menyelesaikan sesuatu pertikaian secara terbuka dan sukarela, bukannya melepaskan dendam.

Rumusan yang boleh diberikan mengenai pentakrifan Sulh yang diamalkan di Mahkamah Syariah dari sudut undang-undang dan praktikalnya Sulh merupakan suatu kaedah penyelesaian secara damai dan redha meredhai di mana pihak-pihak bertikai terhadap sesuatu tuntutan atau permohonan menghadiri satu proses perbincangan di dalam suatu majlis perundingan yang dipimpin secara rasmi, yang diatur oleh pegawai Mahkamah. Sebarang penyelesaian yang dicapai oleh kedua-dua belah pihak akan direkodkan di hadapan hakim dan dijadikan suatu perintah di mana keputusan ini adalah mengikat.

::PANDANGAN SYARA'::

Islam sememangnya menggalakkan amalan Sulh berdasarkan sifatnya yang mengutamakan perdamaian secara redha meredhai. Terdapat dalil-dalil yang jelas dalam al-Quran, al-Sunnah dan pendapat fuqaha’ yang menyeru ke arah pelaksanaan Sulh. Al-Quran secara nyata menganjurkan perdamaian sepertimana Firman Allah S.W.T di dalam

Surah al-Hujurat ayat 9:
“Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah diantara keduanya”

Allah S.W.T. juga berfirman di dalam Surah al-Nisa’ayat 128 yang bermaksud:

“Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya nusyuz (kebencian) atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian diantara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya) kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai berai)“


Rasulullah SAW juga amat menggalakkan umatnya untuk mencari perdamaian dan mengelakkan pertikaian sesama sendiri. Peristiwa Rasulullah menyelesaikan pertikaian di antara pembesar Quraysh mengenai hak untuk meletakkan Hajr al-Aswad membuktikan amalan Sulh ini benar-benar dianjurkan oleh Islam. Malahan baginda sendiri menganjurkan penyelesaian pertelingkahan secara Sulh walaupun baginda mempunyai kemampuan untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan secara bersendirian.

Rasulullah juga menunjukkan kecenderungannya kepada penyelesaian secara Sulh melalui hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah, yang bermaksud:

Saya hanya seorang manusia biasa dan kamu membawa kepada saya pertikaian antara kamu. Andainya satu pihak antara kamu mengemukakan tuntutannya dengan cara yang lebih menarik dan pihak lain sehingga saya memberi keputusan yang tidak benar kepada pihak itu, iaitu memberi hak satu saudara ke saudara yang lain, ia harus tidak menerimanya sebab itu adalah sebahagian dari neraka.

Hadith ini dengan jelas membuktikan bahawa Rasulullah lebih menyukai penyelesaian pertikaian yang di buat secara sukarela sesama pihak bertikai daripada membuat keputusan melalui kaedah perbicaraan.

8 Mushaf Malaysia Rasm Uthmani, Tafsir Pimpinan al-Rahman kepada Pengertian al-Quran, Diterjemah oleh Sheikh Abdullah Basmeih dan disemak oleh Datuk Haji Muhammad Noor Haji Ibrahim, Darul Fikir, Kuala Lumpur, 2001. 9 Ibid. 10 Sahih al-Bukhari, Jilid 3.5 Ulama bersepakat dan menggalakkan amalan Sulh dilaksanakan di dalam kes-kes yang dibenarkan menurut al-Quran dan al-Sunnah.

Hadis Riwayat al-Tarmizi dari Amru bin ‘Awf Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud

“ Sulh, hukumnya adalah harus di antara orang Islam melainkan menjadi haram jika ianya mengharamkan apa yang dihalalkan dan menghalalkan apa yang diharamkan dan sebenarnya orang Islam itu terikat dengan janjinya kecuali dalam perkara yang mengharamkan apa telah dihalalkan dan sebaliknya”

Sulh juga dibenarkan sekiranya perkara itu melibatkan hak manusia (haq al-ibad) dan tidak dibenarkan di dalam kes yang melibatkan hak Allah seperti hudud. Menurut Kitab al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu12, jumhur ulama’ berpendapat, terdapat empat rukun Sulh iaitu dua orang yang beraqad, sighah, perkara yang dipertikaikan dan ganti sulh. Manakala dari rukun-rukun tersebut terdapat tiga syarat Sulh iaitu :


1) Syarat berkaitan pihak-pihak yang berdamai

  • Iaitu orang yang layak dan sah mendermakan hartanya. Jika ia dibuat oleh orang yang tidak layak seperti orang gila atau kanak-kanak atau penjaga anak yatim atau nazir harta wakaf, maka sulhnya tidak sah kerana ia merupakan derma, sedangkan mereka tidak memilikinya.
  • Sungguhpun demikian, Sulh penjaga anak yatim atau nazir harta wakaf adalah sah jika Sulh yang dibuat oleh mereka boleh mendatangkan kebaikan bagi anak yatim dan harta wakaf.

2) Syarat bagi sesuatu yang dijadikan Sulh

  • Ia merupakan harta yang boleh dinilai dan dapat dibuat penyerahan atau sesuatu yang berharga.
  • Ia diketahui wujud dan tidak dipertikaikan tentang kewujudannya bagi melaksanakan penerimaan serta penyerahan.

3) Syarat bagi hak yang dipertikaikan.

  • Ia merupakan harta yang boleh dinilai atau sesuatu yang bermanfaat.
  • Ia merupakan hak seseorang yang harus ditukar ganti sekalipun bukan berbentuk harta seperti qisas.
  • Hak Allah tidak sah untuk dijadikan Sulh seperti hadd zina dan minum arak.

Daripada rukun dan syarat tersebut, kesannya seandainya Sulh telah dipersetujui ianya adalah bersifat mengikat dan tidak boleh diubah tanpa persetujuan dan tidak boleh didengar dakwaan yang menuntut buat kali kedua. Namun demikian penyelesaian yang dibuat di Majlis Sulh boleh di bawa ke Mahkamah sekiranya terdapat ketidaktelusan, penipuan, kesilapan dan sebagainya yang mengakibatkan ketidakadilan kepada sesuatu pihak. Secara umumnya, penyelesaian melalui kaedah Sulh di kaca mata syara’ dan yang dilaksanakan berlaku dalam dua bentuk iaitu Secara Pelepasan Hak (Ibra’) iaitu pemohon yang menuntut hak hanya mahu dan bersetuju mengambil atau menerima sebahagian sahaja daripada kadar tuntutannya dan Secara Gantian Mu’awadhah) iaitu pemohon tidak mengambil haknya yang dituntut tetapi bersetuju digantikan dengan bentuk lain.

 ::MANUAL KERJA SULH::

Bagi melaksanakan Kaedah Tatacara Mal (Sulh) Negeri Kelantan 2001, satu Manual Kerja Sulh telah digubal untuk digunapakai dan dipatuhi oleh semua Pegawai Sulh. Antara objektif manual kerja ini ialah bertujuan untuk memperjelas dan menyeragamkan prosedur yang perlu diikuti oleh semua Pegawai Sulh dalam mengendalikan Majlis Sulh. Manual Kerja Sulh ini menggariskan proses bermula dengan kenyataan awal Pegawai Sulh atau al-Ta’aruf, pembentangan awal pihak yang bertikai, perbincangan bersama, pertemuan sebelah pihak (private caucus), perundingan bersama, penghakiman berasaskan persetujuan dan kes diserahkan kembali. Manual Kerja Sulh juga mengutamakan konsep kerahsiaan bagi menjamin perlaksanaan Sulh dengan lebih berkesan. Majlis Sulh akan dilaksanakan melalui dua cara iaitu secara Marathon atau Berkala.


Perlaksanaan Majlis Sulh secara Marathon bermakna ianya dilaksanakan hanya dengan sekali panggilan atau perbincangan sahaja bersama pihak-pihak bertikai. Kebiasaannya ia hanya mengambil masa yang singkat dan mampu mempercepatkan kes selesai. Majlis Sulh yang dijalankan secara Berkala atau bertempoh dilaksanakan lebih dari sekali sesi bergantung kepada budi bicara Pegawai Sulh. Tempoh perlaksanaan Majlis Sulh Berkala ini ialah dalam masa 3 bulan dan boleh dilanjutkan dengan membuat permohonan di Mahkamah. Bentuk Majlis Sulh ini mengambil masa yang agak lama dan memerlukan kerjasama dari pihak bertikai untuk hadir pada setiap sesi Majlis Sulh.

  • myGOV
  • Kerajaan Negeri Kelantan
  • Jabatan Perkhidmatan Awam
  • MAMPU
  • MSC Malaysia
  • mySMS 15888
  • MyID
  • JKSNSabah
  • JKSNS
  • JKSNSW
  • JKSNT
  • JKSNP
  • JKSNJ
  • JKSNM
  • JKSNNS
  • JKSNP
  • JKSNPP
  • JKSNW
  • JKSNP